Gambar hiasan.

NADWAH Ulama Dan Ilmuwan YADIM (NUIM) ingin mengemukakan kenyataan penting berkaitan isu Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang sedang hangat
dibincangkan dalam negara.

Dalam konteks hari ini, NUIM ingin menegaskan pentingnya umat Islam untuk mengikuti aliran tasawwuf yang moderat dan muktabar serta diiktiraf oleh para ulama muktabar, agar tidak terjerumus ke dalam penyelewengan akidah dan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sahih.

GISBH jelas telah mempengaruhi sekelompok masyarakat atas nama pendekatan tasawwuf, namun dengan amalan yang menyimpang daripada ajaran syariat yang benar.

Pengaruh seperti ini amat berbahaya kerana ia mempergunakan istilah tasawwuf untuk menarik perhatian, namun hakikatnya ia membawa kepada penyimpangan akidah dan amalan yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Peranan JAKIM, YADIM, Jabatan-Jabatan Mufti dan Agensi-Agensi Agama Lain dalam Menangani Isu GISBH

JAKIM, bersama-sama dengan Jabatan-jabatan Mufti di seluruh negara dan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), telah menyuarakan kebimbangan terhadap penyimpangan akidah yang dibawa oleh GISBH.

Berikutan daripada itu, mereka juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani ancaman yang boleh menggugat keharmonian akidah umat Islam di Malaysia.

Kerjasama erat antara JAKIM, MKI, dan Jabatan-jabatan Mufti memastikan bahawa setiap langkah yang diambil terhadap isu-isu seperti GISBH adalah selaras dengan kehendak syariat dan bertujuan untuk melindungi kesatuan umat Islam.

Pihak- pihak berautoriti ini memainkan peranan yang penting dalam menjaga keutuhan akidah dan mencegah amalan-amalan yang menyimpang.

Sebagai salah satu agensi dakwah yang penting, YADIM turut memainkan peranan besar dalam mendidik masyarakat Islam di Malaysia.

YADIM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kefahaman umat Islam mengenai ajaran-ajaran agama yang sahih, termasuk mendidik masyarakat mengenai tasawwuf yang muktabar.

Kaedah pencegahan secara holistik perlu diperkukuhkan bagi mengelak daripada terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyimpang.

YADIM juga komited dalam melaksanakan program-program dakwah yang bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam dan menyebarkan ajaran Islam yang benar.

Tasawwuf yang Moderat, Muktabar Dan Selari Dengan Syariat Islam

Tasawwuf yang moderat dan muktabar, iaitu tasawwuf yang berlandaskan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiyyah, menekankan penyucian jiwa melalui amalan seperti ikhlas, sabar, tawakkal, dan syukur, berteraskan Al-Quran
dan Sunnah Rasulullah SAW.

Tasawwuf ini menggabungkan syariat dan hakikat, di mana setiap amalan tasawwuf perlu mematuhi syariat Islam.

Penyucian Jiwa Dan Mujahadah

Penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs adalah salah satu aspek utama dalam tasawwuf yang muktabar. Pengamal tasawwuf mesti berusaha membuang sifat tercela seperti sombong, riak dan hasad dan menggantikannya dengan sifat terpuji seperti ikhlas,
tawakkal, dan syukur kepada Allah SWT.

Mujahadah (berjuang melawan hawa nafsu) adalah sebahagian daripada usaha ini, di mana seseorang pengamal tasawuf mesti sentiasa berusaha untuk memperbaiki dirinya dan menjaga
hubungan rohani dengan Allah SWT.

Kecintaan Kepada Allah Dan Rasulullah SAW

Pengamal tasawuf yang sahih mesti menjadikan kecintaan kepada Allah dan Rasulullah SAW sebagai asas segala amalan mereka. Amalan-amalan seperti zikir, doa dan selawat menjadi penghubung antara manusia dengan Allah dan memperkuatkan cinta kepada-Nya.

Pepatah Mengenai Syariat Dan Karamah

Seperti yang dikatakan oleh Sheikh Abdul Qadir Isa dalam kitabnya, beliau menegaskan bahawa syariat adalah asas dalam tasawwuf. Pepatah berikut menjadi peringatan bagi semua:
“Jika kamu melihat seseorang terbang di udara atau berjalan di atas air tetapi tidak berpegang teguh kepada syariat, maka janganlah kamu mengikutinya.”

Ini bermakna bahawa sebarang karamah atau tanda luar biasa tidak boleh dijadikan ukuran kehebatan seseorang jika ia tidak mematuhi syariat.

Syariat dan tasawuf yang sahih sentiasa berjalan seiring, dan syariat adalah panduan utama bagi pengamal tasawwuf yang muktabar.

Seruan NUIM Kepada Umat Islam

Nadwah Ulama dan Ilmuwan (NUIM) dengan ini menyeru seluruh umat Islam agar sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti JAKIM, Jabatan-jabatan Mufti dan MKI dalam memastikan bahawa amalan agama yang diamalkan adalah
sahih dan selaras dengan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturidiyyah.

NUIM juga menyeru kepada semua umat Islam agar meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak berautoriti agama dalam menangani isu-isu berkaitan agama termasuk hal-hal berkaitan penyelewengan akidah dan amalan.

Pihak berkuasa agama sentiasa bekerja untuk menjaga akidah umat Islam dan terbuka menerima cadangan serta idea penambahbaikan daripada semua pihak yang berkenaan.

Adalah penting untuk tidak cepat memperlekehkan agensi-agensi agama seperti JAKIM dan jabatan-jabatan mufti kerana mereka menjalankan tugas dengan tanggungjawab besar dalam memelihara kemurnian Islam di negara kita.

Umat Islam dinasihatkan untuk terus merujuk kepada pihak-pihak ini dalam menghadapi sebarang kekeliruan atau isu berkaitan agama.

Semoga kita semua dilindungi oleh Allah SWT daripada fitnah akidah dan dianugerahkan kekuatan untuk menegakkan agama Islam yang sebenar. Sekian, terima kasih.

DR HAJI BASHIR MOHAMED AL-AZHARI
PENGERUSI NADWAH ULAMA DAN ILMUWAN YADIM (NUIM)