Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, Ihsan Foto: Jon Super/ AP Photo

NEW YORK – Britain menggesa gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah segera dikuatkuasa bagi mengelak ambang krisis menjadi lebih teruk untuk rantau Asia Barat.

Perdana menterinya, Keir Starmer berkata, persengketaan itu hanya memerlukan penyelesaian diplomasi bukan langkah ketenteraan.

“Saya menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mencari pendekatan politik bagi menghentikan kitaran keganasan yang berulang seperti di Asia Barat.

“Oleh sebab itu, gencatan senjata di antara Israel dan Hezbollah perlu dilaksanakan dengan kadar segera bagi membolehkan orang awam Israel dan Lebanon menjalani kehidupan harian mereka dengan aman dan selamat. 

“Walaubagaimanapun, keselamatan itu akan dicapai melalui diplomasi dan bukan eskalasi. Tiada ruang bagi pendekatan secara ketenteraan sama ada di sini ataupun konflik di Gaza,” katanya ketika mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Starmer dengan tegas menuntut gencatan senjata dikuatkuasakan secara menyeluruh di Gaza termasuk pembebasan semua tebusan.

Serangan Israel ke atas Hezbollah baru-baru ini disifatkan sebagai serangan terbesar dalam tempoh dua dekat dan ini sekaligus telah meningkatkan kebimbangan konflik di Gaza akan terus merebak ke Asia Barat.

Dalam serangan itu, seramai 560 orang awam telah terkorban, 1,835 telah tercedera dan menyebabkan ribuan melarikan diri untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga. – Agensi