Tertuduh Nor Rafidah Ab Kadir, 54, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen perolehan kepada syarikat anaknya keseluruhannya berjumlah RM15,221.04 empat tahun lalu.

MELAKA – Seorang bekas kerani sebuah sekolah didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen perolehan kepada syarikat anaknya berjumlah RM15,221.04 empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan tertuduh Nor Rafidah Ab Kadir, 54, terhadap 10 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK).

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal didapati telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen milik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Yok Bin, Bukit Serindit keseluruhannya berjumlah RM15,221.04 yang mempunyai sebab untuk tertuduh mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan melalui 10 nombor cek berbeza di Bank RHB Cawangan Bukit Baru antara 19 Oktober 2020 hingga 23 November 2020.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 471 KK yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 telah mengeluarkan cek bayaran Maybank milik sekolah berkenaan bagi bayaran kepada syarikat milik anak kandungnya, Amielyana Enterprise dengan meniru tandatangan penandatangan cek.

Perbuatan itu bagi tujuan mendapatkan bayaran tanpa mengikut prosedur perolehan bekalan atau perkhidmatan yang telah ditetapkan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) bagi transaksi pemindahan wang milik sekolah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan hukuman setimpal mengambil kira kekerapan kesalahan dilakukan serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya bagaimanapun memohon hanya dikenakan denda kerana masih menanggung anak yang bersekolah selain seorang lagi akan berkahwin bulan depan.

Wanita itu juga memaklumkan mahkamah dia masih bekerja di Unit Rendah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Elesabet mengarahkan tertuduh didenda RM20,000 bagi semua 10 pertuduhan pilihan atau 30 bulan penjara jika gagal bayar.

Hukuman itu jelasnya setelah mengambil kira faktor peringanan dan pemberatan yang dikemukakan serta fakta tertuduh telah memulangkan RM45,118.16 kepada sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast