Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berucap pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kunjungan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China hanya pertukaran lawatan biasa yang dibuat atas jemputan kerajaan republik itu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kunjungan itu juga merupakan lawatan timbal balik memandangkan wakil dari Kerajaan China sebelum ini turut dijemput menghadiri Persidangan Agung UMNO.

Tegas beliau, sesi lawatan itu juga bertujuan memberi pendedahan berhubung kemajuan di negara itu yang boleh dipelajari dan dijadikan pengalaman dalam kalangan pemimpin BN terlibat.

“Kita tetap berpegang kepada semangat Islam dan nasionalisme sebagai sebuah negara merdeka, sebagai sebuah parti berasaskan rumpun Melayu yang mana kita juga ada ahli-ahli di Sabah, (maka) Perlembagaan parti kita pertahankan.

“Jangan ada tuduhan mengatakan akan ada pengaruh (komunisme) dalam kepimpinan parti kita, saya beri jaminan itu tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas turun padang berjumpa penduduk Orang Asli dalam Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beramah mesra bersama masyarakat Orang Asli ketika hadir pada Majlis Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh, Kluang. Foto SADIQ SANI, 26 SEPTEMBER 2024

Ahmad Zahid ditanya berkenaan dakwaan pembangkang yang turut membuat laporan polis berhubung kunjungan sekumpulan pemimpin BN ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC), di Beijing yang diketuai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, pihaknya bimbang sekiranya fahaman komunis akan menular dalam kalangan ahli UMNO dan juga di DUN Johor.

Terdahulu, Mohd. Puad turut membidas tindakan PN membuat laporan polis berhubung lawatan itu dan menyifatkan tuduhan lawatan tersebut mempunyai kaitan dengan ideologi komunisme sebagai melampau.

Sebaliknya, tegas Mohd. Puad, lawatan ke negara itu adalah bersempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China dan fokus kepada soal pemodenan serta cara China memilih dan melatih pemimpin. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast