KLUANG – Felcra Berhad (Felcra) mencatatkan peningkatan Keuntungan Boleh Agih Interim 2 sebanyak RM129 juta melibatkan hampir 68,000 peserta pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perolehan tersebut adalah hasil daripada 600 projek yang mencatatkan keutungan seluruh negara.
“Kenaikan interim kali ini adalah dipengaruhi oleh peningkatan prestasi keseluruhan Projek-projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P) Felcra Berhad yang memberangsangkan iaitu RM218 juta,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Felcra Madani Santuni Rakyat di Dewan Serbaguna Chamek di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip.
Ahmad Zahid berkata, peningkatan keuntungan pada tahun ini sebanyak RM81.23 juta sekali gus menunjukkan pencapaian yang baik berbanding keuntungan RM48.5 juta pada tahun lalu.
Katanya, keuntungan tersebut akan dibayar secara berperingkat-peringkat kepada semua peserta bermula hari ini.
Menurutnya, komitmen Felcra untuk meningkatkan hasil ladang yang berjaya mempengaruhi kenaikan hasil 21 peratus atau hampir 2 metrik tan per hektar berbanding tempoh sama tahun lalu.
Selain itu katanya, kos operasi ladang telah dapat dikurangkan sehingga 13.5 peratus per hektar melalui pelaksanaan sebagai inisiatif penjimatan kos operasi yang strategik dan efektif.
Inisiatif itu kataya, berjaya meningkatkan pendapatan per hektar ladang sebannyak 31 peratus. – MalaysiaGazette