Antonio Guterres

NEW YORK – Dunia tidak boleh menjadikan Lubnan satu lagi Gaza, justeru perang habis-habisan “mesti dielakkan walau apa cara sekalipun”, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi Timur Tengah.

Lantaran itu, beliau menggesa agar permusuhan dihentikan serta-merta dan mahu semua pihak mengambil langkah konkrit ke arah melaksanakan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1559 dan 1701.

“Orang awam mesti dilindungi. Infrastruktur awam tidak boleh disasarkan,” tambahnya.

Ketua PBB itu juga menekankan keperluan untuk keselamatan semua kakitangan PBB berkata, undang-undang antarabangsa mesti dihormati oleh semua pihak.

“Mari kita katakan dengan satu suara yang jelas, hentikan pembunuhan dan pemusnahan, kurangkan retorik dan ancaman. Perang habis-habisan mesti dielakkan walau apa cara sekalipun. Ia pasti akan menjadi malapetaka yang menyeluruh,” beliau memberi amaran..

Tegas beliau, serangan berbalas antara Lubnan dan Israel baru-baru ini telah berulang kali melanggar Resolusi Majlis Keselamatan 1701, begitu juga penggunaan senjata harian oleh kumpulan bersenjata bukan negara, yang juga melanggar Resolusi 1559 dan 1701.

Guterres juga mendedahkan, keganasan yang semakin meningkat telah memaksa hampir 200,000 orang di Lubnan dan lebih 60,000 orang di utara Israel meninggalkan rumah mereka sejak Oktober tahun lalu.

“Komuniti utara Israel dan selatan Lubnan mesti boleh pulang ke rumah mereka dan hidup dalam keadaan selamat dan tanpa rasa takut,” katanya sambil menyatakan bahawa banyak nyawa telah terkorban.

Setiausaha Agung itu menekankan keperluan untuk menghormati kedaulatan Lubnan dan membenarkan negara Lubnan menjalankan kawalan penuh ke atas senjata dalam sempadannya.

Beliau menegaskan semula sokongan PBB untuk mengukuhkan Angkatan Tentera Lubnan bagi membantu menstabilkan rantau itu.

“Semua ini mesti dihentikan,” kata Guterres, mengulangi keperluan mendesak untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Israel telah melancarkan gelombang serangan udara maut ke atas Lubnan sejak pagi Isnin, membunuh hampir 610 orang dan mencederakan lebih 2,000 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Hezbollah dan Israel telah terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza, yang telah membunuh lebih 41,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas 7 Oktober 2023.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran terhadap serangan ke atas Lubnan, kerana ia boleh menyebarkan konflik Gaza ke serantau. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here