Ahmad Zahid Hamidi

MELAKA – Program Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz terus menyaksikan jaminan kerjaya di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus memastikan seramai 622 golongan huffaz ditempatkan di beberapa syarikat gergasi antarabangsa termasuk Airbus dan Boeing.

“Kini yang telah bekerja adalah seramai 17 huffaz dan 622 sedang dilatih semuanya kita yakin (akan mendapat pekerjaan).

“Ini kerana kita telah pun menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa dan kita yakin daripada pengalaman sudah, 100 peratus daripada mereka akan bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid melakukan gimik perasmian Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, beliau berbangga melihat Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut yang berjaya melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz, bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah huffaz.

“Ini sekali gus mengintegrasikan pendidikan Islam dengan kemahiran teknikal bagi melahirkan modal insan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah menyumbang kepada pelbagai sektor industri

“KKDW sebagai peneraju pembangunan luar bandar, optimis menjadikan pendidikan TVET sebagai instrumen utama untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar melalui peluang kerjaya yang luas dan relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, usaha itu selaras dengan matlamat Dasar TVET Negara 2030, supaya lebih banyak pihak bekerjasama dalam memperjuangkan kebajikan rakyat melalui pendidikan kemahiran.

“Saya yakin penganjuran Ekspo TVET@KDW ini akan mencapai matlamatnya dan menyuntik semangat kepada semua warga Institusi TVET KKDW untuk memberikan perkhidmatan terbaik yang mampu melonjak agenda TVET negara,” katanya. – MalaysiaGaze

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here