Onn Hafiz dan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah bertemu sekumpulan mahasiswa yang menemuinya dalam program ziarah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berlian, Kluang

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor merayu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bekerja di Singapura pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu esok.

Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kepulangan mereka amat penting dalam menyuburkan lagi sistem demokrasi di negeri ini.

Katanya, bagi memudahkan perjalanan pengundi di DUN Mahkota menunaikan tanggungjawab mereka, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah proaktif.

“Saya telah berhubung dengan pihak Imigresen dan kastam untuk membantu agar perjalanan saudara dan saudari pada hari ini dan esok dengan melancarkan lagi operasi (membuka semua kaunter) bagi mengelakkan berlaku kesesakan.

“Jadi, saya merayu kepada saudara sekalian untuk pulang mengundi pada Sabtu ini (esok) agar kita menyuburkan lagi sistem demokrasi dan bersama membangunkan negeri Johor, DUN Mahkota yang kita cintai,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Menurut Onn Hafiz, banyak yang telah dibuat kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan Persekutuan untuk memudahkan hampir 300,000 rakyat Malaysia yang berulang alik ke republik itu setiap hari.

“Antaranya ialah kita tambah bas, menambah bilangan pegawai Imigresen, menambah kaunter, kita menaik taraf infrastruktur dan sistem dan pelbagai lagi.

“InsyaAllah, banyak lagi yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk melancarkan lagi operasi kita di Tambak Johor dan di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 61,397 pengundi layak mengundi di 20 pusat membabitkan 109 saluran yang akan dibuka serentak pada 8 pagi hingga 6 petang esok.

Pengundian awal PRK DUN Mahkota diadakan Selasa lalu melibatkan 4,437 pengundi terdiri daripada anggota tentera dan serta pasangan selain SPR mengeluarkan 607 undi pos pada 15 September.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here