Sidang media Penguatkuasaan Akta 852 mengenakan cabaran kepada Perniagaan Tempatan di Persatuan Agung Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura.

KUALA LUMLUR – Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) menekankan bahawa pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan memberikan kesan signifikan terhadap perniagaan mereka termasuk peningkatan kos yang membebankan.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta 852 bermula 1 Oktober 2024.

Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon berkata, unjuran penemuan terkini dalam laporan oleh Deloitte dan MSCSPGA mendapati kos pematuhan boleh mencecah  RM620 juta pada tahun pertama, dengan tambahan RM277 juta setiap tahun selepas itu.

“Kos ini merangkumi perbelanjaan pelarasan sekali sahaja, seperti pengubahsuaian premis untuk mematuhi peraturan baharu.

“Perubahan susun atur, pemasangan unit penyimpanan dan paparan yang mematuhi peraturan serta kemas kini papan tanda untuk memenuhi keperluan pembungkusan dan pelabelan yang baharu.

“Selain itu, perniagaan perlu mengambil atau menugaskan semula kakitangan untuk menguruskan beban kerja pentadbiran yang meningkat, termasuk mengekalkan rekod terkini, memastikan pelabelan yang betul, serta menyediakan latihan kepada kakitangan agar mereka sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai perubahan peraturan dan prosedur pematuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media MSCSPGA berhubung pelaksanaan Akta 852 dan cabarannya kepada pengusaha, di sini, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan kesan besar yang mungkin timbul daripada dasar berkenaan terhadap pihak berkepentingan, MSCSPGA percaya adalah penting bagi kerajaan untuk mengadakan sesi dialog yang menyeluruh dengan semua pihak terjejas.

Ini kerana katanya, kerajaan dapat mempertimbangkan kebimbangan pihak terjejas khususnya pengusaha dan berusaha ke arah pendekatan yang seimbang tanpa membebankan industri ini.

“Kami dengan rendah hati memohon perhatian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji semula cadangan dasar ini dengan lebih komprehensif termasuk penilaian terhadap kesannya ke atas kos, operasi, pendapatan dan keberkesanannya,” katanya.

Wong berkata, MSCSPGA mewakili kira-kira 20,000 ahli pengusaha kedai kopi di Malaysia serta hampir 500,000 individu yang bekerja di restoran termasuk ahli keluarga mereka yang bergantung kelangsungan sektor ini.

Terdahulu, katanya, Perlesenan Jualan Runcit Tembakau diperkenalkan pada awal tahun ini, menambah beban kepada kos operasi yang sudah tinggi.

“Walaupun kami memahami komitmen kerajaan untuk membanteras perdagangan haram tembakau, kami masih bergelut dengan kewangan akibat kenaikan kos yang mendadak.

“Tanpa pendekatan pragmatik yang baharu untuk menangani isu ini, kerajaan seolah-olah memaksa kami untuk berhenti menjual rokok sama sekali memandangkan jualan rokok sah di kedai kopi menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah pendapatan ahli kami, yang merupakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here