Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. Foto MOHD ADZLAN, 17 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan penahanan salah seorang individu penting dalam rangkaian GISBH bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Berdasarkan maklumat laman Facebook PUKAS Malaysia, individu itu dikenali dengan panggilan mesra Tuan Usu disyaki memainkan peranan sebagai pengendali aliran tunai untuk syarikat GISBH.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi hari ini berkata, Tuan Usu telah dicekup menerusi serbuan Op Global Fasa 4, yang dijalankan di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu minggu lalu.

“Dia diberkas selepas pihak polis menahan pemimpin utama GISBH di ibu negara, minggu lalu.

“Ketika ini siasatan susulan masih dijalankan oleh polis terhadap Tuan Usu bersama beberapa pemimpin lain termasuk meneliti segala akaun berkaitan dengannya.

“Dari situ kita akan jejak segala bentuk transaksi yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan GISBH,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, seramai 19 individu dipercayai pimpinan tertinggi GISBH ditahan dalam serbuan di sebuah residensi di Jalan Imbi, Bukit Bintang pada 19 September lalu.

Mereka yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif GISBH dan isteri bersama dua anaknya dalam serbuan yang dilakukan pada jam 5.40 pagi.

Dalam perkembangan sama, laman Faceboon PUKAS turut mendedahkan kutipan sumbangan yang diperoleh GISBH melebihi RM2.3 juta menerusi 58 zon di seluruh dunia.

Jelasnya, duit itu akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas sebelum disalurkan kepada pengutip atau pengumpul dana iaitu Shuhaimee dan seorang wanita dikenali sebagai Hamimah.

Wang itu kemudian akan diagihkan kepada 10 individu penting sama ada untuk disimpan atau digunakan untuk membeli aset-aset di atas nama peribadi ahli-ahlinya selain sebahagian kecil untuk pengaliran tunai perniagaan anak-anak syarikat di bawah GISBH.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here