Datuk Ngwe Hee Sem

MELAKA – Dewan Selera dan kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang, di sini, diarah tutup 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) susulan penemuan najis tikus di lantai dewan dan penggunaan peti sejuk yang tidak menepati piawaian.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kesemua 48 pelajar sekolah itu yang bergejala cirit birit, demam dan muntah dipercayai akibat keracunan makanan juga sudah dibenarkan pulang ke asrama selepas menerima rawatan hospital.

“Kedua-dua premis berkenaan turut dikenakan kompaun masing-masing RM1,000 dan perintah penutupan bermula semalam sehingga 10 Oktober ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983

“Bagaimanapun, jika kerja-kerja pembersihan dapat dibuat lebih awal dan jika Kementerian Kesihatan (KKM) berpuas hati barulah premis dibenar beroperasi semula,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, selain itu pihak koperasi sekolah juga telah diarahkan menghentikan sementara jualan makanan siap bungkus dari pembekal luar sehingga siasatan selesai dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“KKM juga telah cadangkan beberapa katering yang ada dalam senarainya untuk membekalkan makanan kepada MRSM itu yang mempunyai seramai 663 pelajar,” katanya.

Semalam Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki membuat yang pemeriksaan mengejut selepas menerima 48 kes keracunan pelajarnya menyifatkannya sebagai MRSM terdaif dan teruzur berbanding 39 MRSM lain yang pernah dilawatinya.

Asyraf Wajdi (tengah) memeriksa peti sejuk beku menyimpan lauk untuk pelajar MRSM Terendak, Sungai Udang, Melaka yang tidak menepati piawaian kesihatan.

Ia susulan penemuan mengejutkan tandas yang langsung tidak dapat digunakan sejak dua tahun selain bilik guru yang rosak teruk dan lantai dewan makan dipenuhi najis tikus.

Beliau turut mengarahkan pengetuanya menyenaraikan keutamaan dalam tempoh sebulan menggunakan peruntukan segera diluluskan berjumlah RM400,000 untuk membaiki kemudahan tandas, bilik guru dan asrama MRSM berusia 41 tahun itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast