HAMILTON, Kanada – Perdana Menteri Palestin Mohammad Mustafa menyifatkan Israel sebagai “negara penyangak” dan mahu reji zionis itu bertanggungjawab atas jenayah yang telah dilakukannya di Gaza.
“Mereka telah menceroboh bandar-bandar di Tebing Barat. Mereka telah menyerang rakyat Palestin yang tidak bersenjata, dan hari ini kita melihat mereka menembak rakyat Lubnan,” kata Mustafa di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi di Palestin.
Tambahnya, Israel juga secara terang-terangan melanggar kedaulatan Lubnan, Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Israel “bertindak sebagai negara penyangak kerana mereka yakin mereka berada di atas undang-undang dan berhak kepada perkara yang negara lain tidak berhak.
“Israel meneruskan pencerobohannya, supaya ia mendorong seluruh wilayah ke arah perang terbuka,” kata ,” kata Mustafa.
Perdana Menteri Palestin juga memberi amaran bahawa Israel sebenarnya merancang untuk menyingkirkan rakyat Palestin dan merampas tanah mereka.
“Kami memerlukan rancangan antarabangsa dengan langkah-langkah yang perlu untuk mengubah realiti di lapangan,” katanya.
Beliau menyatakan keperluan untuk langkah konkrit daripada antarabangsa untuk penyelesaian dua negara dan pelaksanaannya dalam rangka kerja sempadan 1967.
“Palestin yang bebas adalah satu-satunya yang boleh membuka kunci masa depan yang aman untuk rantau kita,” katanya sambil menggesa masa depan yang berbeza untuk Palestin adalah mungkin dengan keputusan yang dibuat oleh setiap negara anggota PBB.
Mustafa juga menggesa agar dihentikan pendudukan Israel, yang katanya akan membuka jalan untuk keamanan dan keselamatan bersama. – Agensi