Mohamad Haizan selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK DUN Mahkota di SK Kampong Melayu, Kluang, hari ini

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN, Mohamad Haizan Jaafar selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pagi ini.Se

Mohamad Haizan tiba di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Melayu di sini pukul 10 pagi sebelum selesai menjalani proses mengundi kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau diiringi Yang Dipertua Pas, Abdullah Husin.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengundi, Mohamad Haizan bersyukur kerana proses pengundian berjalan lancar pada pagi ini.

“Saya harap semua pengundi di luar Mahkota keluar mengundi dan harap situasi baik ini akan kekal sehingga tamat waktu mengundi pada pukul 6 petang nanti.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak media,” katanya ditemui di pekarangan SK tersebut.

Beliau berkata, pihaknya sudah berusaha sebaiknya dan bertawakal kepada Allah supaya pengundi memilihnya pada PRK DUN Mahkota.

Ditanya mengapa lewat menunaikan tanggungjawab mengundi, beliau menziarahi ibu mentuanya terlebih dahulu untuk memohon restu.

“Saya melawat ibu mentua saya yang uzur di Simpang Renggam sebelum datang ke pusat mengundi,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan.

Dalam PRK DUN Mahkota, Mohamad Haizan akan mementang calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here