Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Fenomena perubahan iklim dikenalpasti menjadi salah satu faktor pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan peningkatan kes denggi di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, selain faktor berkenaan, masalah penstrukturan juga menjadi penyumbang kepada pembiakan jentik-jentik.

“Kita lihat hujan turun dan kemudian jadinya pembiakan, itu sangat terdedah. Beberapa struktural, seperti perangkap pasir, merupakan pengkalan pembiakan,” katanya menjawab pertanyaan media.

Dzulkefly berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Kebangsaan, One Hour Malaysia Clean up dan Hari Cuci Malaysia di Perumahan Penjawat Awam, Presint 18, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly menolak dakwaan bahawa rakyat di negara ini mengambil mudah mengenai penularan kes demam denggi.

Ia kerana terdapat kawasan-kawasan yang menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam penurunan kes demam denggi, antaranya di Presint 18, Putrajaya.

“Tahun lalu 8 (kes demam denggi) di Presint 18, tahun ini 4 kes demam denggi,” katanya lagi.

Untuk rekod, bagi minggu epidemiologi ke 37 dan 38 bagi tahun 2023 dan 2024, kes kematian demam denggi didapati meningkat dari 62 kes kepada 91 kes.

Angka ini berbeza 29 kes pada minggu sama antara tahun 2023 dan 2024 dengan 87,175 kes dicatatkan pada tahun lalu dan 101,750 kes bagi 2024. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here