DUA pengundi menunggu giliran untuk mengundi pada PRK DUN Mahkota di PDM Sekolah Agama Gunung Lambak, Kluang, Johor, hari ini.

KLUANG – Berbaki kurang tiga jam sahaja lagi untuk proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berakhir pukul 6 petang, peratusan keluar mengundi setakat ini boleh dikatakan amat mengecewakan.

Setakat pukul 3 petang, hanya 43.44 peratus daripada keseluruhan 61,274 pengundi biasa keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih.

Angka itu dilihat masih jauh berbanding peratusan yang dicatatkan pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) iaitu sebanyak 57 peratus.

Malah, peratusan keluar mengundi itu juga sukar untuk mencecah sasaran 60 peratus seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di sebahagian daripada 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga mendapati suasana semakin lengang selepas pukul 1 tengah hari.

KEADAAN lengang dan sunyi di PDM Sekolah Agama Gunung Lambak, Kluang, Johor meskipun PRK DUN Mahkota berbaki tiga jam lagi.

Keadaan itu ditambah dengan cuaca hujan kira-kira setengah jam kira-kira pukul 2 petang tadi sebelum kembali cerah.

Terdahulu, kebimbangan berhubung peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK DUN Mahkota disuarakan banyak pihak berdasarkan sambutan dingin penduduknya terhadap kempen-kempen parti politik yang bertanding sepanjang 14 hari lalu.

Selain itu, peratusan keluar mengundi yang rendah juga dikaitkan dengan kemungkinan pengundi luar khususnya kaum Cina tidak pulang mengundi memandangkan baru sahaja pulang meraikan perayaan Pesta Tanglung hujung minggu lalu.

Daripada sudut lain, beberapa isu yang menjurus kepada sentimen politik seperti kontroversi sijil halal turut dilihat menghakis minat pengundi DUN Mahkota untuk turut serta dalam proses demokrasi hari ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here