Gambar hiasan

SEREMBAN – Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah lori jenis tipper dan lima kereta di Jalan Persiaran Negeri dekat Persimpangan Lampu Isyarat Persiaran Golf, Nilai, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Mat Ghani Lateh berkata, dalam kejadian pada 3.45 petang itu, mangsa yang berusia 31 tahun mengalami cedera parah di bahagian badan dan kepala akibat tersepit, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori tipper jenis Nissan yang membawa muatan pasir dipandu seorang lelaki berumur 30 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

“Akibat kemalangan, pemandu kereta jenis Perodua Ativa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu lori dan empat mangsa lain masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift pula tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban oleh orang awam dan ambulans untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Bernama

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here