Chin Tong meraikan kemenangan calon BN dalam PRK DUN Mahkota bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Bilik Gerakan BN, Taman Sri Kluang, Kluang, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Formula kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota semalam perlu diteruskan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, kemenangan besar calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah adalah hasil gabungan undi daripada penyokong BN dan PH yang amat signifikan.

“Ini menunjukkan formula terbaik untuk menang PRU16 adalah menerusi kerjasama rapat antara PH dan BN.

“Calon BN, Syed Hussien Syed Abdulllah memperolehi 27,995 undi iaitu 79 peratus daripada jumlah undi dengan majoriti 20,648 undi.

“Ini mengatasi calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang hanya mendapat 7,347 undi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac 2022 menyaksikan pertandingan tiga penjuru di DUN Mahkota dengan calon BN mendapat 16,611 undi, PH (11,445 undi) dan PN (97,614 undi).

“Apabila kita gabungkan undi yang diperoleh kedua-dua BN dan PH pada PRN Johor, jumlahnya adalah 28,056 undi, hampir sama dengan keputusan PRK DUN Mahkota semalam.

“Ini bermakna, melalui kempen dan pujukan bersungguh-sungguh, kebanyakan pengundi PH sudi memindahkan undi mereka kepada BN bagi PRK DUN Mahkota,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, ini juga bermakna keputusan semalam menjadi petanda baik kepada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan memupuk kerjasama lebih erat.

Tambahnya, melalui kerjasama yang lebih kukuh ini serta pentadbiran lebih cekap, adil dan meyakinkan, lebih ramai pengundi atas pagar, terutama mereka yang tidak keluar mengundi semalam akan memilih calon Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya akan datang.

Jelasnya, dengan strategi yang tepat, gabungan politik itu dapat memujuk lebih ramai rakyat untuk menyokong Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan perlu memenangi pilihan raya akan datang melalui kerjasama PH dan BN untuk kestabilan dan kesinambungan pentadbiran demi kesejahteraan negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here