Menteri Pengajian Tinggi dan Naib Canselor Universiti Malaya mengadakan perjumpaan dengan keluarga Izz Imil.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaya mengesahkan kemasukan pelajar cemerlang berusia 12 tahun, Izz Imil Shahrom sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik, Fakulti Sains Universiti Malaya.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, Izz Imil telah melalui proses temuduga dengan Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan oleh universiti dan diluluskan Senat Universiti bagi menyambung pengajian di Universiti Malaya.

“Memandangkan usia Izz Imil yang begitu muda, pihak universiti memohon semua pihak untuk memberikan ruang dan privasi kepada pelajar tersebut melalui proses pembelajaran dan penyesuaian diri di universiti.

“Perkara ini penting bagi membolehkan beliau dapat melalui proses tumbesaran yang kondusif di samping menjalani pengajian dengan baik,” tambah beliau.

Kehadiran Izz Imil yang mendaftar masuk ke UM semalam mendapat perhatian setelah ia tular di media sosial.

Seorang pengguna Facebook Fatimah memberitahu Izz Imil memasuki Tingkatan Satu di Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia pada usia enam tahun.

Dia kemudian meneruskan pengajian dalam O Level pada usia lapan tahun dan A Level pada usia 11 tahun.

Kejayaannya menjadi salah seorang mahasiswa UM mencatat sejarah apabila menjadi pelajar termuda pernah mendaftar masuk ke universiti itu sejak penubuhannya pada tahun 1962. – MalaysiaGazette