Larian Keluarga Malaysia (LKM) akan dijadikan acara tahunan.

CYBERJAYA – Larian Keluarga Malaysia (LKM) akan dijadikan acara tahunan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) kerana telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan melebihi sasaran 2,500 peserta.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, LKM yang buat julung kali diadakan pada tahun ini berjaya menarik hampir 5,000 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan politik.

Beliau berkata, turut sama menyertai larian ini adalah anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan orang tersayang akibat pandemik Covid-19, anak-anak autisme serta lebih 60 kanak-kanak yang mengalami masalah cereberal palsy.

“Sambutan yang diterima daripada orang ramai terhadap penganjuran kali pertama LKM 2024 ini sangat positif dan kita akan adakan lagi larian Keluarga Malaysia serta berharap sumbangan yang diberikan oleh peserta larian dan syarikat-syarikat korporat yang besar.

“Saya percaya dapat membantu meringankan beban anak-anak yatim ini bagi kita memberikan mereka sumbangan sama ada hari raya, buka sekolah, masuk universiti dan sebagainya.

“Ketika ini, YKM memiliki lebih 6,000 anak yatim piatu atau pun yatim akibat daripada ibu bapa mereka meninggal akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menamatkan larian Fun Run sejauh sejauh 5 kilometer (km).

Antara pemimpin dan bekas atlet yang hadir pada Larian Keluarga Malaysia 2024 hari ini.

LKM 2024 bukan sahaja menghimpunkan orang awam, anak-anak yatim dan yatim piatu serta kumpulan pelari tempatan dan antarabangsa malah turut mendapat perhatian anak-anak istimewa autisme yang juga peminat sukan larian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, selain sumbangan, YKM turut mendapat dana RM5 juta setahun daripada kerajaan dalam menanggung perbelanjaan anak yatim yang semakin meningkat.

“Kerajaan memang bagi kita RM5 juta setahun, tapi belum bagi penuh lagi sebab baki ada lagi sebelum. Tapi dalam masa yang sama kita juga berusaha untuk menambahkan dana itu sendiri.

“Sebab semakin besar anak-anak yatim piatu ini semakin besar dari segi perbelanjaan yang akan kita gunakan,” katanya.

Sementara itu, antara pemimpin yang menyertai LKM adalah bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang Duta LKM 2024, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Mustapa Mohamed.

Turut hadir, Pengerusi Permodalan Usahawan Nasional Berhad, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud selain atlet dan bekas atlet yang dilihat hadir ialah Goh Liu Ying, Datuk Santokh Singh, Datuk K. Rajagobal, Datuk Abdul Datuk Malek Mohamed Noor dan Datuk Zainal Abidin Hassan.

Duta LKM 2024,
Khairy Jamaluddin.

LKM 2024 yang menawarkan sebuah kereta jenis Perodua Axia sebagai hadiah utama cabutan bertuah serta pelbagai barangan eletrik turut mendapat kerjasama ramai pihak antaranya dan rakan strategik, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) selain PERODUA, PUNB, Shopee Malaysia Sdn Bhd, Affin
Bank, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan MMU yang memberi laluan jalan larian tersebut.

Pengajuran larian YKM julung kali ini turut menerima penyertaan daripada 10 negara, antaranya Jepun, Indonesia, Mesir, Kenya, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Antara dipertandingkan terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori 5 km (fun run), 10km (race) dan 21km (half marathon) yang bermula seawal pukul 6.30 pagi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here