Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani Fahaman Pelampau Keganasan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Hotel Marriot, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk Malaysia mempunyai akta seperti akta keselamatan keselamatan negara yang khusus untuk menangani pelampau keganasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akta tersebut menjurus kepada usaha menjamin keselamatan dalam negara daripada unsur-unsur dan pengaruh luar.

“Saya serah kebijaksanaan polis dan tentera serta badan penguatkuasa lain (untuk merangka akta).

“Sekiranya terdapat elemen-elemen perlu dimasukkan belum cukup kuat dalam undang-undang negara, ini tentunya akan disergah oleh sebahagian namun kita akan pertahankan.

“Kita mahu negara ini lebih matang sebagai tanda demokrasi dan satu hal yang kita tidak boleh terima adalah mengizinkan negara menjadi medan dan gelanggang bagi puak pelampau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pelan Tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan mencadangkan agar semua negara anggota mempunyai pelan tindakan sendiri bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan.

Ia merangkumi empat teras iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Sementara itu, Anwar berkata, penguatkuasaan undang-undang sedemikian akan disergah atau ditentang oleh sesetengah pihak, namun keutamaan kerajaan pada waktu ini adalah soal keselamatan rakyat dan negara.

“Kita cuba elak daripada terlibat mana-mana perseteruan yang melibatkan senjata tapi ia tidak melepaskan kita daripada tanggungjawab menyokong apa yang hak dan menolak kebatilan.

“Saya nak tegaskan bahawa usaha kita kerana menjamin keselamatan negara itu tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan tetap memberi jaminan kepada badan penguatkuasaan agar dapat melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan telus dan teratur. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here