Mas Imram menyampaikan sumbangan kepada keluarga Muhamad Nazran di HSI, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Nasib seorang kanak-kanak yang melecur hampir 55 peratus seluruh badan selepas tin cat daripada timbunan sampah-sarap dibakar meletup, mendapat perhatian kerajaan negeri.

Kejadian yang menimpa Muhamad Nazran Eijaz Rizqi, 5, itu berlaku ketika bermain berhampiran pusat mencuci kereta milik bapanya di Endau, Mersing bulan lalu.

Ailbat kejadian itu dia mendapat kecederaah parah di wajah dan anggota badan serta masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sehingga kini.

Kanak-kanak malang tersebut dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid di HSI hari ini.

Mohd Fared ketika ditemui selepas lawatan itu, melahirkan simpati dan memberi jamian Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan membantu kos rawatan pemulihan kulit melawat Muhamad Nazran.

“Kita dapat maklumat bahawa kanak-kanak ini perlu dibekalkan dengan kolagen bagi tujuan pemulihannya.

“Harganya kira-kira RM160 bagi satu pek dan dia perlukan dua pek sehari, bermakna RM320 sehari untuk enam bulan mulai bulan ini,” katanya.

Dalam kejadian pada 9 September lalu, keluarga Muhammad Nazran menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi kuat sebelum kanak-kanak tersebut dikejarkan ke klinik berdekatan.

Mangsa dikejarkan ke Klinik Kesihatan Endau sebelum ke Hospital Mersing lalu dirujuk ke HIS berikutan kecederaan parah dialaminya.

Sementara itu, ibu mangsa, Siti Zaleha Abdullah, 31, bersyukur sebahagian kulit wajah anaknya semakin pulih dan doktor sudah menanggalkan balutan di bahagian itu.

Menurutnya, balutan di bahagian tangan dan perut masih belum dibuka kerana kulit yang melecur dalam proses penyembuhan.

“Buat masa ini pergerakannya akan lambat kerana dia masih sakit dan diharap luka dialami semakin pulih,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Pasaraya Econsave menyampaikan sumbangan baucar beli belah bermilai RM1,000 bagi meringankan beban keluarga itu disampaikan Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam.

Siti Zaleha berterima kasih atas sumbangan itu yang secara tidak langsung dapat membantunya kerana sebelum ini terpaksa menanggung kos berulang alik dari Mersing ke HSI.

“Setiap kali ulang-alik ke HSI kami terpaksa membelanjakan RM100 kerana jauhnya kira-kira 160 kilometer sehala.

“Ia belum lagi kos pembelian pek kolagen dianggarkan RM3,840 sebulan kerana ia berharga RM160 sekeping, ia diperlukan bagi mempercepatkan penyembuhan luka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here