KUALA LUMPUR – Seorang penganggur akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya esok atas tuduhan membunuh pereka dalaman di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Damansara, Selangor pada 16 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek berusia 50 tahun itu akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kami percaya dia sedang merompak dan menggeledah unit pangsapuri mangsa apabila mangsa tiba di rumah.

“Pergelutan berlaku sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa berusia 36 tahun yang tinggal berseorangan di rumah berkenaan ditemui maut selepas mengalami kecederaan parah di anggota badan.

Polis menemui 20 kesan tikaman ke atas mangsa selepas menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang juga merupakan jiran mangsa.

Sebelum ini, polis tidak menolak kemungkinan kes berkenaan berpunca daripada pecah rumah sebelum bertukar kepada kejadian samun sehingga menyebabkan kematian. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here