MELAKA – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Ayer Keroh- Gapam di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa Tan Tian Hau, 48, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke Ayer Keroh.
“Siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar kotak kuasa (feeder pillar) milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bahu jalan.
“Akibatnya mangsa yang mengalami cedera parah disahkan petugas perubatan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, kenderaan terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
“Mayat di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette