MELAKA – “Alhamdulillah, ayah dah dijumpai selamat di Chukai, Kemaman, Terengganu tengah hari tadi,” kata Farah, anak bongsu Suriatuddin Maliki, 68, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sini sekitar 5.50 pagi semalam.
Wanita itu ketika dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, berita baik itu disahkan polis Chukai, Terengganu yang menghubunginya kira-kira 1 tengah hari tadi.
“Alhamdulillah polis dari Chukai baru telefon saya sekitar pukul 1 tengah hari tadi memaklumkan ayah telah ditemui.
“Ayah berada dalam keadaan sihat ketika dijumpai berhampiran sebuah bank di Chukai, Kemaman dan kami sekeluarga dalam perjalanan ke sana untuk membawanya pulang,” katanya.
Mengulas lanjut, Farah yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik turut berterima kasih kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat pencarian bapanya yang juga pesara kerajaan itu.
“Kami berjaya mengesan ayah melalui makluamat orang ramai dan pemeriksaan mendapati ayah ada membeli tiket bas dari Melaka Sentral ke Kemaman pada pukul 8 malam tadi.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencari ayah semoga Allah sahaja yang dapat membalas jasa semua,” katanya ringkas.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Farah merayu orang ramai untuk membantu mencari bapanya yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Bukit Katil di sini awal pagi semalam.
Warga emas itu dilihat keluar rumah sebelum Subuh dan sempat dirakam sistem kamera litar tertutup jirannya pada pukul 5.50 pagi. – MalaysiaGazette