Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Warga emas disaran mengambil vaksin influenza bagi melindungi diri daripada jangkitan lebih serius, kata Ahli Jawatankuasa Teras, Kumpulan Kerja Influenza Malaysia dan Pakar Perubatan Respiratori Prof Dr Roslina Abdul Manap.

Beliau berkata ini kerana warga emas, terutamanya yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis dan masalah jantung lebih berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi kesihatan daripada jangkitan virus influenza seperti sakit jantung dan angin ahmar.

“Influenza boleh membawa maut kepada warga emas dan juga pesakit yang mempunyai sistem imun lemah, meskipun ia dianggap ringan sekarang. Influenza berlaku sepanjang tahun dan ia lebih ketara di negara musim tropika seperti Malaysia.

“Kes influenza tidak serius boleh dirawat di rumah, tetapi isi keluarga yang mempunyai warga emas perlu lebih berhati-hati dan sentiasa memantau keadaan kesihatan. Sekiranya gejala semakin teruk selepas 48 jam atau warga emas tidak mempunyai selera makan dan minum dalam tempoh sama, segera jumpa doktor untuk pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam program Apa Khabar Malaysia bertajuk Apa Kaitan Warga Emas dan Penyakit Respiratori Seperti Influenza? terbitan Bernama TV hari ini.

Dr Roslina berkata kesedaran terhadap vaksin influenza masih rendah dalam golongan warga emas  ditambah salah faham masyarakat terhadap istilah flu yang menganggapnya sebagai selsema biasa.

“Sebenarnya, flu merupakan singkatan kepada perkataan influenza dan sebab itu, ramai menganggap influenza sebagai selesema biasa tanpa menyedari bahawa mereka berkemungkinan dijangkiti virus influenza,” katanya.

Justeru, beliau berkata vaksin influenza perlu diambil setiap tahun demi mengelakkan diri daripada jangkitan virus influenza yang bermutasi setiap tahun dan menyebabkan keberkesanan vaksin berkurangan.

“Kita sarankan setahun sekali kerana virus berubah setiap tahun. Lepas 12 bulan mungkin reaksi vaksin terhadap flu berkurangan. Kesan sampingan vaksin memang sedikit sahaja, cuma sakit semasa dicucuk dan bengkak di tempat dicucuk,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai cucukan vaksin influenza, layari laman web di www.actoflove.ifl.my.

— BERNAMA

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here