KUALA LUMPUR – Situasi yang kian memuncak antara Iran dan Israel ketika ini merupakan satu ancaman besar bukan sahaja kepada rantau Asia Barat, malah juga kepada kestabilan global.
Pemerhati politik antarabangsa, Muhammad Ehsan Shaari berkata, sekiranya tiada penyelesaian diplomatik segera dicapai, dunia berdepan risiko konflik yang lebih meluas dengan impak ekonomi dan sosial yang mendalam.
Dalam hal ini, tambah Pegawai Penyelidik, Yayasan Kedah Sejahtera berkenaan, masyarakat antarabangsa, terutama kuasa besar dunia perlu segera memainkan peranan proaktif dalam meredakan ketegangan, sebelum keadaan bertukar menjadi lebih buruk dan tidak terkawal.
Lebih membimbangkan, ujar beliau, Amerika Syarikat (AS) mungkin akan bertindak mempertahankan kepentingan mereka bersama Israel, sekali gus berisiko mencetuskan konflik besar, bahkan mungkin mencetuskan Perang Dunia Ketiga di Asia Barat.
“Kesan sampingan paling ketara ialah impak ekonomi global termasuk kenaikan harga minyak dunia yang akan turut memberi kesan kepada Malaysia serta banyak lagi impak buruk yang mungkin berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.
Lewat malam tadi, pasukan Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah tiga pangkalan tentera di sekitar pusat komersial Israel, Tel Aviv, kata Pasukan Pengawal Revolusi.
Duta Iran dan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amir Saeed Iravani berkata, Iran mempunyai hak untuk berbuat demikian sebagai respons terhadap tindakan agresif rejim Zionis.
Tambah Muhammad Ehsan, jika konflik besar tercetus, PBB patut dipersalahkan atas kegagalan menyelesaikan krisis di Asia Barat sejak sekian lama.
Sebagai badan yang seharusnya menjadi perantara dan mediator, jelas beliau, usaha PBB terbantut akibat ego kuasa besar seperti Perancis, AS dan Britain yang lebih mengutamakan kepentingan nasional mereka berbanding keamanan dan keselamatan global.
Berhubung tindakan nekad Iran melancarkan serangan ke atas wilayah Israel, Muhammad Ehsan berkata, negara itu tidak mempunyai pilihan tetapi perlu bertindak balas selepas sekian lama menjadi mangsa serangan Israel.
Jelas beliau, tindakan balas itu juga dipicu oleh beberapa insiden besar termasuk pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh; pemimpin Hezbollah Sayyed Hassan Nasrallah dan Brigedier Jeneral Abbas Nilforoushan.
Ujarnya, kejahatan Israel itu menoreh maruah Iran dan memaksa negara tersebut bertindak lebih tegas, meskipun tindakan Iran terbabit berpotensi mengganggu kestabilan rantau Asia Barat.
“Situasi bagi Iran ketika ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa, yang mana tiada pilihan lain selain bertindak secara agresif terhadap Israel yang telah berulang kali mencabar kedaulatan Iran, terutama selepas insiden pada 7 Oktober 2023 (serangan Hamas ke atas Israel),” katanya. – MalaysiaGazette