Mohamad Salzeli (tengah) meninjau keadaan jalan berlubang yang bukannya berpunca akibat mendapan tanah tambak di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya petang tadi.

MELAKA – Jalan berlubang yang didakwa lubang benam di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya di sini petang tadi disahkan bukan berpunca daripada tanah mendap di kawasan tambak laut itu.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir Mohamad Salzeli Mokhtar sebaliknya berkata, kewujudan lubang sepanjang 3.5 meter, satu meter lebar dan 1.7 meter dalam itu akibat culvert atau pembetung kekotak yang pecah.

“Kejadian ini berlaku kerana kegagalan culvert di tapak berpunca daripada muatan yang lebih melalui jalan itu.

“Ia mengakibatkan runtuhan jalan sehingga menampakkan longkang besar selebar lima meter di bawahnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian petang tadi.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir Mohamad Salzeli Mokhtar

Terdahulu tular di media sosial mengenai kejadian itu kononnya dikaitkan dengan lubang benam berpunca daripada tanah mendap di kawasan tambak laut sejak lebih 40 tahun itu yang merupakan laluan utama ke pusat bandar Melaka .

Difahamkan, kejadian itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal cedera ketika cuba mengelak daripada terjunam ke dalam lubang sedalam 1.7 meter itu.

Mohamad Salzeli (tengah) meninjau keadaan jalan berlubang yang bukannya berpunca akibat mendapan tanah tambak di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya petang tadi.

Mengulas lanjut Mohamad Salzeli berkata, pihaknya akan segera melakukan kerja-kerja pembaikan jalan persekutuan itu bagi tempoh jangka pendek dan panjang.

“Ini termasuk membuat laluan kontra menggunakan jalan bersebelahan selain menghadkan muatan sehingga 10 tan sahaja.

“Esok kita akan buat permohonan peruntukan segera daripada Ibu Pejabat JKR untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan kekal,” tambahnya lagi.

Izzat Irsyaduddin Daud

Sementara itu mangsa kejadian, Izzat Irsyaduddin Daud, 36, berkata dia bernasib baik apabila sempat mengelak daripada terjunam ke dalam lubang terbabit ketika melalui jalan itu sekitar 11 pagi tadi.

“Masa itu saya nak hantar makanan kepada pelanggan dan tiba-tiba nampak lubang besar depan mata dan terus mengelak ke kiri bahu jalan sehingga terlanggar tebing menyebabkan luka ibu jari kaki,” katanya.

Menurutnya, difahamkan sebelum itu sebuah lori hampir terjunam ke dalam lubang berkenaan namun berjaya meneruskan perjalanan selain seorang lagi penunggang motosikal turut cedera. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here