Foto: FB Oracle

KUALA LUMPUR – Pelaburan bernilai AS$6.5 bilion syarikat teknologi gergasi antarabangsa, Oracle akan membolehkan entiti Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan termaju memupuk inovasi dan meningkatkan daya saing global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia juga merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (#NIMP2030) untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

Tambah beliau, keputusan Oracle untuk menubuhkan rantau pengkomputeran awan awam pertamanya di negara ini juga menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital terulung di Asia Tenggara.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

“Jelas sekali, Oracle yakin terhadap terhadap potensi Malaysia sebagai hab inovasi teknologi dan pertumbuhan di Asia Tenggara,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, sebagai gerbang serantau untuk infrastruktur pengkomputeran awan dan aplikasi perisian berpangkalan di Malaysia, kawalan data dan kedaulatan digital penting untuk pelanggan Oracle, terutama industri yang ingin mengembang atau mengukuhkan sayap ke Asia Tengggara.

“Kalau nak tarik pelaburan ke Malaysia, yang sama penting adalah kedaulatan undang-undang, ini adalah antara faktor kita berjaya menarik banyak pelaburan digital ke Malaysia,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Oracle hari ini mengumumkan rancangan melabur lebih AS$6.5 bilion bagi mewujudkan wilayah pengkomputeran awan awam di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan AI dan pengkomputeran awannya.

Dalam satu kenyataan, Oracle menjelaskan, wilayah pengkomputeran awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada infrastruktur pengkomputeran awan Oracle (OCI). – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here