ISKANDAR PUTERI – Seorang bayi yang mengalami pendarahan dalaman di kepala semasa diambil dari rumah pengasuhnya masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu selepas laporan dibuat pada 1.30 petang, 5 September lalu.
“Pihak polis menerima laporan seorang bayi perempuan berusia dua bulan berada dalam keadaan lemah semasa diambil dari rumah pengasuh.
“Bayi tersebut telah dikejarkan ke HSA dan hasil imbasan CT scan mendapati bayi tersebut mengalami pendarahan dalaman di bahagian dalam kepala,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes tersebut masih lagi dalam siasatan dan bayi berkenaan masih dirawat di HSA.
Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.
Sebarang maklumat katanya, boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau ke pusat kawalan daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 @ Hotline 07-5114222.- MalaysiaGazette