BUTTERWORTH – Seorang pemilik kedai haiwan peliharaan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan menyimpan hidupan liar dilindungi tanpa lesen tahun lalu.

Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Zaidi Sabdin, 55, selepas tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, bapa kepada enam cahaya mata itu didapati menyimpan tujuh ekor burung iaitu Murai Batu (2), Sun Conure (2), Serindit (1), Tiong Mas (1) dan Green-Cheeked (1) tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 60(1) akta sama yang boleh didenda tidak melebihi lima RM50,000 atau dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Nadzatul Nattasha Mustapa Kamal (kanan).

Sementara itu, bagi pertuduhan keenam Muhamad Zaidi didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 62 Akta 716 kerana menyimpan seekor burung Murai Batu betina tanpa lesen.

Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan ketujuh, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta 716 kerana menyimpan seekor burung Merbah Luris Leher.

Bagi kesalahan itu, Muhamad Zaidi boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kesemua tujuh kesalahan itu dilakukan di sebuah premis perniagaan terletak di Pokok Sena, Kepala Batas pukul 2.40 petang pada 6 April 2023.

Ketika prosiding, Pegawai Pendakwa Jabatan Perhilitan Pulau Pinang, Nadzatul Nattasha Mustapa Kamal meminta hukuman setimpal atas faktor kepentingan hidupan liar yang semakin pupus selain akta kesalahan tersebut serius hingga mendapat persetujuan Parlimen untuk dipinda pada 2022.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, K. Saravana Kumar meminta hukuman denda minima atas alasan premis anak guamnya beroperasi di kawasan kampung selain perlu menanggung isteri, empat orang anak yang masih belajar di universiti serta sekolah dengan pendapatan bulanan RM2,800.

“Dia juga mengaku kesal atas kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama hingga kelima, RM20,000 bagi pertuduhan keenam manakala RM50,000 bagi pertuduhan ketujuh. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here