LANGKAWI – Mayat juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk (ENS) yang terjatuh di lereng Gunung Machinchang di sini, selamat dibawa keluar pasukan keselamatan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada penyelia operasi dek kaca tersebut berhubung seorang juruteknik terjatuh di lereng gunung.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati mangsa yang dikenali pasti sebagai Khairul Nizam Jaffar, 41, dilaporkan terjatuh pada ketinggian dianggarkan 40 meter dari besi penahan bawah dek kaca tersebut.
“Operasi menyelamatkan mangsa yang berasal dari Pulau Pinang itu dilakukan dengan kerjasama daripada pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Cuaca hujan semasa operasi dijalankan namun mangsa berjaya dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba pada jam 5.11 petang.
“Mangsa yang baru bekerja tiga bulan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa turun menggunakan kereta kabel,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forenisk Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat.
“Kita sudah maklumat kejadian kepada keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Pekerja terjatuh ketika sedang selenggara kereta kabel di Langkawi