KOTA TINGGI – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Monsun Timur Laut (MTL 2024/2025) diramalkan melanda negara ini bemula pada awal November ini sehingga Mac 2025.
Jelas Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) meramalkannya dan pada November hingga Disember ini, cuaca dijangka lebih lembap di timur semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, pada Januari hingga Februari 2025 pula cuaca lebih lembap diramal berlaku di Johor, Sarawak dan Sabah.
“Fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025. Risiko banjir besar akan meningkat sekiranya hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan monsun.
“Dijangka terdapat 5 – 7 luruan monsun membawa episod hujan yang lebat dan berterusan terutama di pantai timur semenanjung, selatan dan barat Sarawak serta utara dan timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan 2 bagi tahun 2024 di Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.
Katanya, hujan diramal berkurangan di utara semenanjung bermula Januari 2025 dan di timur semenanjung bermula Februari 2025 disusuli dengan cuaca panas dan kering sehingga Mei 2025.
Jelasnya, secara keseluruhan, MetMalaysia meramalkan berdasarkan maklumat terkini, polar hujan adalah sama dengan tahun-tahun yang sebelum ini.
Beliau berkata, amaran cyclone tropika semakin kerap berlaku di perairan negara dan tindakan berhati-hati perlu diambil.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memaklumkan, bahawa terdapat 543 siren amaran banjir dan 737 pam bergerak ditempatkan di seluruh negara bagi menghadapi MTL 2024/2025 kali ini.
“Saya juga menyarankan peruntukan diberikan untuk tujuan menambah pembelian pam bergerak. Pemantauan banjir yang berterusan akan dilakukan oleh pihak JPS melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) dengan sokongan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) MetMalaysia dan kerajaan negeri.,” katanya.
Bagi tahun ini katanya, pihak JPS sudah mengenal pasti 4,619 kawasan hotspot banjir selain memantau empangan-empangan yang berusia lebih 50 tahun.
Terutama katanya, empangan mempunyai isipadu yang besar dan tinggi serta mengenal pasti langkah-langkah intervensi yang perlu diambil.
Ahmad Zahid secara keseluruhan berpuas hati dengan persiapan agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut 2024/2025.
Beliau meminta NADMA melihat mekanisme pengurusan pasca bencana dengan mengambil kira peranan agensi-agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat berkaitan kerajaan, syarikat industri berkaitan kerajaan, syarikat swasta dan penduduk setempat.- MalaysiaGazette