Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah bergambar selepas disiytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Kemenangan UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota tidak boleh dijadikan penanda aras sokongan rakyat khususnya orang Melayu terhadap UMNO sudah pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, tanda -tanda pemullihan keyakinan rakyat terhadap UMNO itu dapat dilihat berlaku secara berperingkat berdasarkan kemenangan pada kedua-dua PRK tersebut.

Malah beliau yang juga pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menambah, sentimen penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) juga semakin reda dan orang Melayu kini dilihat semakin menerima kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling.

“Adalah tidak keterlaluan untuk diandaikan kerjasama BN dan PH di bawah payung Kerajaan Perpaduan ini akan kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak melihat kepada maklum balas positif yang ditunjukkan pelbagai lapisan masyarakat ketika ini khususnya pada PRK DUN Mahkota,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Tambah Mohamad Faisol, orang Melayu juga dilihat semakin terbuka dengan kerjasama UMNO dan DAP yang mana jika diuruskan dengan baik boleh diterima sebagaimana Gerakan pernah bersama-sama UMNO membentuk kerajaan suatu ketika dahulu.

Jelasnya, Gerakan dan DAP pada awal proses demokrasi dan pembentukan kerajaan selepas 1969, pernah menentang UMNO, namun Gerakan kemudiannya menyertai kerajaan bersama BN dalam tempoh yang panjang sekitar 1970-an.

Situasi yang sama, katanya, boleh berlaku kepada DAP di bawah payung Kerajaan Perpaduan hari ini yang juga boleh membentuk kerjasama secara jangka panjang dengan UMNO dan BN sama seperti yang pernah dilalui Gerakan.

“Kini, DAP Dan UMNO dapat duduk bersama dalam kerjasama membentuk kerajaan Persekutuan. Ini menunjukan kedua-dua pihak dalam proses memahami, menghormati serta menyesuaikan diri dengan pendirian dan objektif parti masing-masing,” katanya.

Ditanya berkenaan pergeseran terbuka antara pemimpin UMNO dan DAP yang boleh menjejaskan Kerajaan Perpaduan, Mohamad Faisol berkata, adalah tidak adil untuk menghukum mana-mana pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan yang lantang bersuara demi mempertahankan parti masing-masing.

Jelasnya, adalah sesuatu yang normal kepada wakil parti masing-masing mengutamakan perjuangan dan ideologi mereka seperti yang turut dilakukan oleh pemimpin MCA, MIC, Pas, Bersatu dan sebagainya dalam mana-mana pakatan politik.

“Akhirnya yang menjadi keutamaan adalah setiap parti dapat duduk membentuk kerajaan secara bersama dan isu yang menjadi perselisihan antara pemimpin parti akan diselesaikan secara bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast