Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap seorang ahli perniagaan, Habibul Rahman Kadir Shah pada satu sidang media pada tahun 2017.

Beliau membuat permohonan maaf tersebut di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di depan Hakim Norakhmar Mohd San dan Habibul, 68, di sini hari ini.

Menerusi laporan Harian Metro, Syed Saddiq Ketika membacakan pernyataan maaf di kandang saksi berkata, beliau dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada plaintif.

Kata Syed Saddiq, beliau disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkannya percaya bahawa ancaman terhadap dirinya dan keluarga seperti yang didakwa disebabkan oleh Habibul Rahman.

“Dalam sidang media itu, saya merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan menegaskan bahawa ancaman itu benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga.

“Namun begitu, saya kemudiannya menerima maklumat lanjut dan kini menyedari bahawa ketika membuat kenyataan fitnah itu,” katanya.

Syed Saddiq kesal dan memohon maaf atas kenyataan fitnahnya sehingga menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan serta mencemarkan reputasi dan merosakkan imej plaintif.

Beliau juga mengakui kenyataan fitnahnya mengenai Habibul timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang disampaikan tetapi kini tahu maklumat itu adalah palsu dan tidak benar, tambahnya sambil berjanji tidak akan mengulanginya.

Sebagai rekod, peguam Habibul, Jahaberdeen Mohamed Yunoos memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak berkenaan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik.

Habibul pada 16 Nov 2021 memfailkan saman terhadap Syed Saddiq yang ketika itu ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dakwaan memfitnah selepas mengaitkannya dengan satu ‘rangkaian dedak’ menawarkan rasuah kepada ahli Bersatu.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here