Gambar hiasan.

KAJANG – Sejumlah 3,328,603 pemegang lesen motosikal layak bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah itu adalah daripada 9,307,986 bagi lesen B2 dan 11,858 bagi lesen B1.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli bagaimanapun berkata, pemegang lesen perlu menyelesaikan saman tertunggak terlebih dahulu bagi mendapatkan kelulusan bagi program peralihan berkenaan.

“Saya nak ingatkan kepada orang awam kalau ada yang mendapati lesen mereka sudah 10 tahun ke atas tapi tidak layak dia harus menyemak semula saman tertunggak.

“Ini kerana mereka perlu menyelesaikan dahulu saman-saman tertunggak barulah sistem akan menukarkan status kepada layak,” katanya kepada media selepas selesai Ops Khas Kenderaan Perdagangan di Bangi Lama hari ini.

Ditanya mengenai saman-saman tersebut, Aedy Fadly berkata, ia melibatkan saman JPJ dan saman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saman melibatkan JPJ dan PDRM, kena selesaikan dahulu saman tertunggak dan senarai hitam yang ada barulah sistem itu akan tukarkan kepada status layak,” katanya lagi.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementerian akur dan melonggarkan salah satu syarat kelayakan bagi Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B.

Anthony berkata, pihaknya bersetuju supaya syarat memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 hanya perlu aktif dan mencukupi tempoh 10 tahun ke atas sahaja.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menetapkan individu dikenakan syarat memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif selama sekurang-kurangnya 10 tahun berturut-turut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here