Penjaga jentera sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) direman bantu siasatan terima suapan RM30,000.

GEORGE TOWN – Seorang penjaga jentera sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di negeri ini direman selama enam hari bagi membantu siasatan menerima suapan bernilai RM30,000.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Azlan Basri bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, suspek yang berkhidmat sebagai penjaga jentera di insitusi penyelidikan dan pembangunan sumber biologi semula jadi itu tiba ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.

Suspek dibenarkan reman selama enam hari.

Difahamkan, suspek ditahan di rumahnya malam tadi dalam satu operasi khas yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota SPRM Pulau Pinang.

Dia ditahan selepas disyaki menerima wang sogokan bernilai RM30,000 sebagai balasan bagi membantu kontraktor mendapatkan kerja sivil di agensi berkenaan.

Dalam serbuan tersebut, pihak SPRM turut merampas beberapa motosikal berkuasa tinggi serta kereta mewah jenis Mustang.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan tangkapan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast