Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan fatwa terkini berkenaan fahaman, ajaran, pegangan atau amalan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) dan rangkaiannya.

Terdahulu, keputusan hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 September lalu disembah maklum kepada baginda untuk diperkenankan oleh pengerusinya merangkap Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam semalam.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, mesyuarat jawatankuasa berkenaan dilaporkan berpuas hati dan meyakini pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung yang dibawa oleh kumpulan Darul Arqam.

Ia telah diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

“Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah dari aspek akidah dan syariat.

“Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baru yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah,” katanya.

Sebagai rekod, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi kenyataan semalam telah mengesan beberapa amalan dan kepercayaan ahli GISBH yang kini disiasat bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan.

Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ahli kumpulan tersebut turut mempercayai beberapa perkara yang dikaitkan dengan pimpinan memberi keberkatan dan membolehkan mereka masuk syurga.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here