Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak bomba melakukan kerja-kerja pemimdahan mangsa banjir ke PPS di Kluang, hari ini

KLUANG – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar dan SK Seri Kampung Renggam dekat ini hari ini bagi menempatkan mangsa banjir kilat.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS yang dibuka pada pukul 12.30 tengah hari itu menempatkan 116 penduduk dari 36 keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu memberitahu, mangsa dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat melebihi dua jam.

“PPS SK Dato Onn menempatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga yang merupakan penduduk Taman Suria dan Taman Rekamas.

“Sementara 48 mangsa daripada 16 keluarga yang merupakan penduduk  Kampung Seri Tengah, Renggam berlindung di PPS SK Seri Kampung  Renggam,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemantauan dilakukan di kawasan Kampung Palembang dan Kampung Bentong mendapati beberapa rumah mula dinaiki air di sekitar kawasan halaman luar rumah.

“Terdapat sebuah rumah di Kampung Bentong telah dinaiki air dan mangsa telah berpindah ke kawasan yang selamat.

“Pemantauan berterusan akan dijalankan oleh Pasukan Boatman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dari masa ke masa,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai untuk terus berwaspada dan berhati-hati dalam menghadapi situasi banjir memandangkan cuaca yang tidak menentu.

“Sila patuh kepada arahan dan nasihat berpindah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Awasi anak-anak anda dan jangan biarkan mereka bermain di kawasan banjir,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here