Raub menunjukkan beberapa kereta yang dicuri Geng Meot, selepas sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan, Larkin, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan satu Geng Meot yang aktif mencuri kenderaan sekitar daerah ini susulan penahanan tiga lelaki dalam lima serbuan di daerah ini dan Kota Tinggi, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan Geng Meot daripada seorang warga emas pada Isnin lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 75 tahun itu mengadu keretanya yang diparkir di sebuah hotel di Mount Austin di sini pukul 7.30 petang, pada Ahad lalu hilang.

“Bertindak atas maklumat pada 12.30 malam Isnin sehingga 5.30 pagi Selasa, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melalukan serbuan di lima lokasi berasingan.

“Serbuan melibatkan kawasan Taman Johor Jaya dan empat lagi di kawasan Kota Tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Katanya, dalam serbuan pertama pihaknya menahan seorang lelaki tempatan, 44, bersama-sama rampasan sebuah kereta jenis Kancil warna putih dan sebatang kunci bertulisan Perodua.

Menurutnya, semakan rekod terhadap lelaki itu mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah serta masih dikehendaki polis.

Dalam serbuan kedua dan seterusnya kata Raub, pihaknya menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 41 tahun selain merampas dua kereta jenis Honda Accord bersama-sama satu rangkai kunci kereta dan allen key yang diubah suai menjadi tajam.

“Turut dirampas sebuah kenderaan Nissan Cefiro dan sebuah kereta jenis Toyota Corolla, hasil semakan mendapati lima kenderaan itu pernah dilaporkan hilang,” katanya.

Bagi suspek kedua katanya, mempunyai 21 rekod lampau kes jenayah curi kenderaan dan penyalahgunaan dadah manakala suspek ketiga mempunyai 25 rekod lampau kes jenayah curi kenderaan serta penyalahgunaan dadah dan masih dikehendaki polis.

Beliau berkata, hasil saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek ialah akan memberi tumpuan kenderaan lama di sekitar Bandaraya Johor Bahru dengan cara merosakkan rumah pintu kereta untuk masuk.

“Kemudian suspek akan menghidupkan enjin kenderaan tersebut dengan menggunakan allen key yang diubah suai menjadi tajam,” katanya.

Raub berkata, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan kegiatan mencuri kenderaan adalah untuk kegunaan sendiri dan menampung kehidupan harian.

Jelasnya, hasil tangkapan ke atas lima suspek telah berjaya menyelesaikan lima kes curi kenderaan yang dilaporkan sekitar daerah ini.

“Ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula 30 September dan disambung lagi sehari untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Mereka juga ditangkap berkait laporan polis melibatkan kesalahan curi kereta lain kelmarin dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok,” katanya.

Tambahnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini dan masih menunggu arahan pertuduhan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara satu hingga tujuh tahun dan denda, katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here