Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah memohon maaf atas perbuatannya

KUALA LUMPUR- Seorang wanita Palestin yang tular membuat kecoh di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) baru-baru ini, membuat permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia.

Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah berkata, dia turut menyesal dengan tindakan dan kekasaran yang telah dilakukannya.

Jelas wanita itu, dia sangat tertekan memikirkan keadaan anak yang masih berada di Gaza yang mana sudah seminggu tidak dapat berkomunikasi dengan mereka, membuatkannya bertindak di luar kawalan.

Wanita berkenaan merupakan antara 127 rakyat Palestin yang dibawa ke negara ini untuk mendapatkan rawatan akibat peperangan dengan rejim Zionis.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2024/10/04/warga-palestin-mengamuk-di-wisma-transit-atm/

“Saya minta maaf dan sangat menyesal dengan apa yang saya lakukan. Saya bersumpah kepada Tuhan, saya tidak buat dengan sengaja, kami sedang lalui situasi dan keadaan yang sangat sulit yang hanya ALLAH SWT sahaja tahu.

“Serius kamu (rakyat Malaysia) adalah orang baik, murah hati dan menghormati orang dan saya berterima kasih kerana menerima dan melayan kami dengan baik. Saya bersumpah dengan nama ALLAH SWT, kami mendapat apa yang terbaik. Apa yang saya cakap ini ikhlas dari hati saya.

“Kamu melayan kami (rakyat Palestin) dengan segala kebaikan, rasa hormat dan penghargaan. Kamu sudah melakukan tugas dengan penuh tanggungjawab, tetapi kamilah yang melakukan kesalahan terhadap anda (rakyat Malaysia),” katanya menerusi hantaran video di TikTok.

Baru-baru ini, tular video memaparkan kekecohan dilakukan sekumpulan rakyat Palestin dengan ada antara mereka bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa dan merosakkan harta benda premis berkenaan dipercayai kecewa selepas tidak diizinkan untuk menginap di luar WTKL.

Susulan itu, Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali memohon maaf berhubung insiden kekecohan tersebut. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Memalukan! Wanita Palestin buat kecoh akan dihantar pulang -Duta

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here