Bot kargo kendalian warga tempatan yang mempunyai lesen tamat tempoh ditahan Maritim Selangor malam Sabtu.Ihsan Maritim Selangor

KUALA LUMPUR – Sebuah bot kargo tempatan yang disyaki tidak mempunyai lesen sah telah berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot yang dikendalikan oleh warga tempatan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 01. batu nautika Timur Pulau Klang jam 10.30 malam.

Katanya, penahanan itu dibuat hasil daripada Ops Khas Jamlar yang dijalankan Bersama Jabatan Laut Wilayah Tengah (JLWT) yang bermula semalam dan berakhir pada Ahad.

“Penahanan itu dibuat oleh Bot Perkasa 35 dan pemeriksaan awal mendapati bot itu dikendalikan oleh seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun.

“Semakan lanjut juga mendapati lesen bot tersebut telah tamat tempoh dan juga tiada insurans selain nama nahkoda tidak terkandung dalam lesen bot itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Muhaimin lagi, bot dan kru warga emas yang ditahan itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor.

Ujar beliau, kes berkenaan sedang disiasat di Bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1951 kerana lesen bot tamat tempoh dan tidak memiliki insurans serta nama nahkoda tiada dalam lesen bot terbabit.

“Maritim Malaysia sentiasa memandang serius pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnua perairan negeri Selangor sentiasa terpelihara.

“Sebarang aduan dan maklumat tentang apa-apa kegiatan jenayah maritim dan kecemasan laut boleh disalurkan menerusi talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here