Geng Casa bersenjata bahaya terlibat samun rumah termasuk kes loloskan barang emas dan patung dewa keseluruhan RM600,000 berjaya ditumpaskan hasil serbuan dari 3hingga 7 Oktober 2024.

SHAH ALAM – Seramai 10 ahli Geng Casa yang memecah masuk banglo dan menyamun ahli perniagaan di Pandamaran, Klang pada 3 Oktober lalu ditahan polis dalam serbuan di empat lokasi di Negeri Sembilan dan Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam 6.16 pagi itu, seramai 10 hingga 12 individu bertopeng, bersarung tangan dan bersenjata parang memecah masuk kediaman tersebut.

Jelas beliau, siasatan mendapati suspek telah mengikat tiga ahli keluarga ahli perniagaan itu sebelum menetak dan mencederakan salah seorang daripada mereka yang berusia 33 tahun.

Katanya, mereka melarikan wang tunai, barang kemas dan patung yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM600,000.

“Salah seorang mangsa berjaya menghubungi polis melaporkan rumahnya dipecah masuk tetapi selepas MPV polis bergegas ke lokasi mendapati kumpulan penyamun itu berjaya meloloskan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Menurut Hussein, bertindak atas risikan dan maklumat, pasukan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan jenayah (JSJ) IPK Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan berjaya mengesan kumpulan.

Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya menahan seramai 10 individu berusia antara 23 hingga 48 tahun, termasuk seorang wanita yang mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang suspek kumpulan samun itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan, barang kemas, patung, sebilah parang, dua jaket, sarung tangan serta topeng.

Seramai 10 suspek termasuk seorang wanita geng samun bersenjata bahaya berjaya diberkas dalam kes samun larikan barang kemas dan patung dewa berjumlah RM600,000 di Pandamaran Klang.

Hussein berkata, semakan mendapati dua suspek masing-masing memiliki 13 dan 14 rekod jenayah lampau manakala suspek utama berusia 38 tahun memiliki dua rekod bunuh dan satu kes cubaan bunuh serta pernah ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Siasatan lanjut polis mendapati, kumpulan penyamun yang tinggal di Negeri Sembilan ini terdiri daripada 10 hingga 12 suspek yang sangat merbahaya dan didapati terlibat dalam enam kes samun di Klang Selatan, Selangor dan tujuh kes samun di Negeri Sembilan sejak tahu lalu.

“Mereka juga didapati terlibat dalam kumpulan kongsi gelap dan tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa sekiranya digugat semasa melakukan jenayah,” ujarnya

Hussein memberitahu, polis sedang memburu dua hingga empat lagi ahli kumpulan itu

Tambah beliau, kesemua 10 suspek kini direman selama seminggu bermula dari tarikh tangkapan dan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here