Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

SHAH ALAM – Seorang pegawai kanan dan tiga anggota polis berpangkat rendah yang didapati terlibat mengadakan parti di pejabat cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Selangor dipindahkan ke kontinjen lain, berkuatkuasa serta merta.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati seorang anggota berpangkat koperal membawa masuk empat individu termasuk seorang lelaki awam ke pejabat cawangan JSJ untuk menyertai parti yang diadakan kira-kira jam 1.30 pagi 28 September lalu.

“Tindakan itu jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) polis yang tidak membenarkan mana-mana orang awam dibawa ke premis pejabat tanpa urusan rasmi.

“Semakan kami juga mendapati dalam insiden itu, ia disebut kononnya parti termasuk mendengar muzik dan ada sedikit makanan.

“Jadi, itu tindakan dalaman dan anggota berpangkat koperal berkenaan keluar dari (kontinjen polis) Selangor,” katanya, di sini, hari ini.

Menurut Hussein, tiga lagi penyelia polis yang berpangkat sarjan, sarjan mejar dan inspektor turut diambil tindakan yang sama dengan menukar mereka ke Johor dan Kelantan.

Tambah beliau, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.

Sementara itu, Hussein berkata, tiga anggota polis dari IPD Kajang yang positif dadah adalah berpangkat rendah dan bukannya Ketua Balai seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Katanya, mereka telah ditukar ke bahagian Jabatan Pengurusan IPK Selangor secara serta-merta dan akan dikenakan didakwa mengikut jenayah dan tatatertib. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast