Proses pendaftaran pelajar baharu UTHM.

BATU PAHAT – Seramai 2,589 pelajar baharu program sarjana muda sesi akademik 2024/2025 mendaftar diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kampus induk dan kampus cawangan Pagoh bermula pada 29 September 2024 lalu.

Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Dato’ Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, jumlah tersebut melibatkan 1,967 pelajar di kampus induk, manakala 622 pelajar lagi di kampus cawangan Pagoh.

Berdasarkan statistik tersebut, sejumlah 1,437 orang atau 56 peratus adalah pelajar lelaki, manakala 1,152 orang atau 44 peratus lagi merupakan pelajar perempuan.

Kesemua pelajar baharu yang mendaftar diri di tujuh fakulti itu mula mengikuti sesi perkuliahan 2024/2025 bermula pada 6 Oktober lalu secara fizikal.

Terdahulu, mereka telah mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) yang berlangsung selama lima hari bermula 29 September hingga 3 Oktober lalu sebagai persediaan menjadi sebahagian daripada warga UTHM.

Sepanjang minggu tersebut, mereka telah mengikuti pelbagai sesi dan taklimat yang bertujuan untuk mengenali alam kampus dengan lebih dekat antaranya Majlis Bersama Kepimpinan Negara, Amanat Naib Canselor serta Ikrar Pelajar, Taklimat Kebajikan dan Pembiayaan Pengajian, Sesi Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dekan dan pengurusan fakulti, Hari Sukan MHS dan
Malam Warisan Bangsa.

Dr Ruzairi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar yang terpilih mengikuti pengajian di UTHM, sekali gus berharap mereka dapat menyahut cabaran menjadi individu yang cemerlang dengan memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran.

Tambah beliau, UTHM ada menyediakan kemudahan fasiliti yang lengkap di sekitar kampus dan kolej kediaman serta bersedia untuk menampung keperluan pelajar pada sesi pengajian ini.

“Oleh itu, saya amat berharap anak-anak pelajar dapat menggunakan peluang menyambung pelajaran di UTHM ini dengan sebaik mungkin dan harungilah setiap cabaran yang datang dengan penuh tekad dan kesungguhan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here