KUANTAN – Kawasan sekitar Hutan Sungai Lembing dekat sini didakwa semakin ‘botak’ ekoran aktiviti penghapusan hutan sejak bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri mempersoalkan sama ada pembersihan hutan dalam skala besar itu dilakukan dengan kajian impak alam sekitar dan sosial.
Susulan itu beliau mahu penjelasan daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan lebih-lebih lagi selepas pihaknya menerima surat edaran daripada agensi penguatkuasaan berhubung kegiatan di kawasan hutan berkenaan pada 27 September lalu.
“Saya mengharapkan penjelasan yang jelas dan tuntas mengenai isu ini agar warga DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Lembing mendapat maklumat yang tepat mengenai keadaan dan status hutan simpan itu.
“Saya dan warga DUN Sungai Lembing ingin menegaskan kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku dalam tata kelola sekiranya ada berkaitan isu penghapusan hutan ini,” kata wakil rakyat Pas itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Ayub, surat edaran tersebut antaranya menyatakan terdapat aktiviti penebangan dan pembersihan hutan yang dikhuatiri dilakukan tanpa kebenaran daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
Sekiranya benar, katanya, perbuatan tersebut tidak boleh diterima sama sekali kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban dan akibatnya perkara yang sama.
Tambah Muhammad Ayub, kegiatan pembersihan hutan akan menimbulkan kebimbangan serius kerana ia boleh membawa kepada beberapa kesan buruk.
”Lebih-lebih lagi kita sekarang ini mula menerima jumlah kadar hujan yang semakin meningkat termasuk hakisan tanah, banjir lumpur, kemusnahan habitat haiwan liar termasuk berlakunya konflik antara manusia dan haiwan liar.
“Sebagai langkah proaktif, saya telah menghantar surat permohonan untuk menggesa (pihak terlibat) diadakan semakan, tindakan segera, dan juga bantahan terhadap kegiatan ini serta semakan status kawasan hutan tersebut kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya lagi.
Selain itu salinan surat tersebut dihantar kepada Menteri Besar Pahang, ia juga dihantar kepada Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Daerah Kuantan serta Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pahang. – MalaysiaGazette