Nor bergambar di depan Kaabah beberapa jam sebelum kejadiannya didatangi lelaki perwatakannya seperti penjenayah dan pengemis yang mahu membantunya menunjukkan jalan pulang ke hotel selepas sesat pada Ahad lalu.

MELAKA – “Hati Nor masih kotor kerana bersangka buruk terhadap lelaki itu hanya kerana perwatakannya seperti penjenayah dan pengemis sedangkan dia mahu membantu Nor yang dulu juga begitu,”.

Itu pengalaman diceritakan Dak Nor, atau nama sebenarnya, Nor Komariah Mohd Khalid Lourdes Lio, 40, mengenai pengalamannya yang ketika ini sedang mengerjakan umrah.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi 6 Oktober lalu ketika berada di Mekah dan dalam perjalanan pulang ke hotel selepas menziarahi Kaabah.

“Waktu hendak pulang, Nor sesat sebelum datang seorang lelaki rupanya seperti pengemis dan penjenayah menawarkan diri untuk bantu Nor tunjukkan jalan ke hotel.

“Lelaki berusia lingkungan 25 tahun itu yang berasal dari Lombok, Indonesia juga menceritakan seliparnya sudah empat kali hilang membuatkan Nor tidak percaya dan bersangka buruk,” katanya kepada MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Tambah Nor yang juga merupakan pesakit mental, waktu itu dia sudah terdetik mahu memberikan sedikit wang kepada lelaki itu untuknya membeli selipar baru namun takut untuk mengeluarkan duit di tempat terbuka.

“Bila dah hampir sampai, lelaki itu tunjukkan arah hotel dan waktu Nor mahu keluarkan duit, tiba-tiba dia hilang dari pandangan,” ceritanya lagi.

Menurut Nor, dia tidak pasti siapakah lelaki itu namun kejadian itu membuatkannya sedar hatinya masih kotor kerana bersangka buruk terhadap niat orang lain hanya kerana pakaian dan rupa parasnya.

“Itu membuatkan Nor sedar hati Nor masih kotor sedangkan dulu Nor juga pernah berada di situasi itu dianggap tak betul oleh masyarakat.

“Nor sedar masih banyak kekotoran dalam hati yang perlu diperbaiki dan mahu gunakan peluang mengerjakan umrah selama 12 hari ini sebaik mungkin,” katanya sebak. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here