SUNGAI BULOH – Taktik licik seorang pemilik kedai landskap kebun bunga yang disyaki terlibat kegiatan memasak dan menjual ketum secara besar-besaran sehingga meraih keuntungan RM20,000 sebulan akhirnya terbongkar.
Cubaan suspek yang hanya berurusniaga dalam bentuk wang tunai dengan pembelinya untuk memastikan kegiatannya tidak dihidu pihak berkuasa tidak berhasil.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada 3 Oktober lalu, lebih kurang 12.30 tengah hari, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah mengadakan serbuan di dua rumah di Kampung Melayu Sungai Buloh.
“Hasilnya, pasukan serbuan berjaya menangkap dua lelaki tempatan dan dua warga asing yang didapati terlibat dalam proses memasak dan menjual air ketum.
“Pemeriksaan lanjut di kedua-dua rumah itu itu turut membawa kepada penemuan dan rampasan sebanyak 1,100 botol berisi air ketum berjumlah 550,000 milliliter (mm) yang siap untuk dijual dengan setiap sukatan 500 mm serta 41 karton rokok seludup bernilai RM17,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh hari ini.
Tambah Hussein, keempat-empat suspek yang ditahan itu berusia lingkungan antara 21 hingga 42 tahun dan salah seorangnya memiliki rekod kesalahan jenayah lampau.
Siasatan lanjut juga mendapati dua suspek warga asing adalah pekerja di syarikat landskap kebun bunga tersebut.
“Hasil risikan juga mendedahkan sindiket itu mendapatkan daun ketum sebanyak 50 kilogram dari Perak dan dibawa menggunakan lori sebelum memproses setiap empat hari dan menjualnya sebanyak 4,000 botol sebulan dengan kuantiti jualan 400 hingga 500 botol sehari dan meraih keuntungan sehingga mencecah RM20,000 sebulan,” katanya lagi.
Sindiket itu terlibat dalam jualan air ketum di sekitar Sungai Buloh dengan harga RM5 sebotol pada waktu siang dan RM10 pada waktu malam kepada pembeli tetapnya yang datang menyamar sebagai pemandu e-hailing untuk membelinya.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 jika disabitkan kesalahan.
“Kita juga mendapati sindiket ini aktif dalam kegiatan air ketum secara komersial sejak awal 2021 namun sejak awal tahun ini sindiket mengusahakan air ketum dalam skala besar serta meluas yang membolehkan polis menjejaki dan melumpuhkan kumpulan tersebut,” ujarnya.- MalaysiaGazette