Sekitar proses pendaftaran pelajar baharu di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), universiti TVET terbaik di Malaysia mencatatkan peningkatan membanggakan bagi kemasukan pelajar baharu mengikuti program ijazah sarjana muda buat tiga tahun berturut-turut bermula 2022 hingga 2024.

Bagi pendaftaran kemasukan pelajar baharu memulakan pengajian ijazah sarjana muda bagi semester 1 sesi 2024/2025 telah berjaya merekodkan seramai 2,896 orang hadir mendaftar, hari ini (7 Oktober) dan angka ini teramai dalam sejarah sejak penubuhan UTeM.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM mencapai dua kejayaan besar iaitu menerima pendaftaran pelajar baharu teramai dalam sejarah dan keduanya adalah lonjakan peningkatan berterusan dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Jika dibandingkan bagi tiga tahun berturut-turut, kali ini ini merupakan puncak peningkatan bilamana tahun 2022 kami telah menerima seramai 2,043 orang pelajar dan 2,530 orang bagi tahun 2023.

Menurut beliau, corak peningkatan ini disebabkan UTeM selaku universiti TVET terbaik di Malaysia terus menjadi pilihan dan buruan utama lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Antara faktor lain disebabkan UTeM terus mencatatkan kejayaan cemerlang menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila mencapai kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 97.7%.

“Pada masa yang sama penawaran bidang pengajian UTeM menepati keperluan dan permintaan semasa industri bilamana UTeM merupakan penerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (Employers’ Choice of University Award), baru-baru ini.

“Sehubungan itu, UTeM turut memberikan fokus utama dalam aspek penjagaan kebajikan kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi terutamanya
kepada golongan B40 dengan pelbagai skim bantuan yang telah diberikan sebelum ini,” ujarnya sewaktu ditembual ketika meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.

Dr Massila berkata, seramai 999 orang pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

Manakala seramai 727 orang pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).

Bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 667 orang.

“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 503 orang.

“Kesemua pelajar ini mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula Isnin hingga Jumaat (7 hingga 11 Oktober) bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti ini pada Ogos lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here