Bekas wartawan Nurfateha Othman, 42, mengaku tidak bersalah mengaibkan kehormatan bekas teman lelakinya dan membuat hantaran dan komunikasi jelik di laman sosial Facebook, Januari lalu.

MELAKA – Seorang bekas wartawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan bekas teman lelakinya di laman sosial Facebook, Januari lalu.

Tertuduh, Nurfateha Othman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati dengan niat hendak mengaibkan kehormatan terhadap Mohd Dzuhairy Hussain, 43, dengan dengan cara memuat naik gambar, butiran dan perbualan WhatsApp di Facebook kira-kira pukul 2 petang awal Januari lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan 2/17, Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil dalam dalam daerah Melaka Tengah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan berjumlah RM7,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Mohamed Musthafa.

Peguam dalam rayuan bagaimanapun memohon denda yang ringan kerana anak guamnya yang juga bekas wartawan Melaka Hari Ini (MHI) hanya bekerja sebagai jurugambar sambilan dengan pendapatan RM2,200 selain mengidap penyakit sinus kronik.

Hujahnya, suami anak guamnya pula bekerja sebagai penjual roti bergaji bulanan RM1,900 serta perlu menyara empat anak berusia 3,9, 11 dan 13 tahun.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 serta syarat tambahan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu mangsa sama di lokasi dan waktu sama.

Perbuatan itu dilakukan menggunakan laman sosial Facebook melalui profil aspalelah zizah torak yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau keduanya sekali dan hendaklah juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 beserta syarat tambahan tertuduh melapor diri kepada pegawai penyiasat setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Selepas mendengar rayuan sama peguam, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Kedua-dua kes akan disebut semula 12 November ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast