KUALA LUMPUR – Kajian impak mendalam bersama semua pemegang taruh perlu dilaksanakan sebelum kerajaan menarik balik subsidi telur ayam.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia penting bagi menilai kesan impak negatif kepada pengguna yang mungkin menghadapi kenaikan harga telur yang akan membebankan golongan berpendapatan rendah.
Jelas beliau, penarikan subsidi yang berjumlah RM927 juta pada 2023 itu juga boleh menyebabkan pengurangan akses kepada telur yang merupakan sumber protein penting bagi rakyat dan kepada industri makanan di negara ini.
“Berdasarkan jangkaan semasa harga telur mungkin boleh meningkat 20 peratus hingga 50 peratus, bergantung kepada situasi pasaran dan respons pengeluar sekiranya subsidi ini dihentikan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Awal hari ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sudah tiba masanya pemberian subsidi bagi telur ayam bagi gred A, B dan C di kaji semula.
Ujar beliau, adalah wajar bagi kerajaan mempertimbangkan supaya subsidi telur itu ditamatkan sekiranya bekalan tersebut telah kembali pulih dan stabil di pasaran.
Tambah Mohamad, penjimatan kira-kira RM100 juta daripada pemberian subdisi telur ayam itu dapat dimanfaatkan untuk membangunkan sektor agromakanan lain yang lebih mendesak.
Sementara itu, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, Pas menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan agensi seperti Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertegas dengan pemain-pemain industri telur ayam untuk memastikan harganya stabil dan bekalan mencukupi.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memastikan pemain industri tidak mengambil kesempatan dan menekan pengguna dengan menaikkan harga mahupun mengurangkan bekalan telur ayam di pasaran.
Tegas beliau, meskipun cadangan menghentikan subsidi telur ayam itu mampu mewujudkan pasaran yang lebih seimbang serta mempromosikan pasaran yang lebih kompetitif, namun impak segera dan kesan rantaiannya perlu diperhalusi oleh Kerajaan MADANI.
“Pas berpendapat secara keseluruhannya, impak kepada pengguna adalah bergantung kepada bagaimana pasaran menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dan langkah-langkah sokongan tambahan serta intervensi yang mungkin boleh diambil oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan teliti cadangan tamatkan subsidi telur, jimat RM100 juta – Mat Sabu